Apa yang patut dilakukan dengan komputer lama anda?IA mungkin tidak berdaya untuk menggunakan sistem operasi Microsoft Vista mahupun Windows XP, tetapi komputer lama yang pernah berjasa kepada anda untuk beberapa tahun yang lalu mungkin masih boleh memberikan khidmatnya lagi.
Usah biarkan komputer lama anda menjadi alat pengumpul habuk sekiranya ia masih boleh dihidupkan. Perkara-perkara berikut mungkin boleh dipraktikkan bagi memanfaatkan komputer lama anda.
Sistem Operasi LinuxJika ditanya pada pakar komputer, gunakan Linux merupakan salah satu jawapan popular yang diberikan apabila ditanya apakah yang boleh dibuat pada komputer lama. Linux merupakan satu alternatif kepada sistem operasi Windows.
Sistem operasi yang menggunakan konsep sumber terbuka ini boleh didapati secara percuma dari laman web www.linuxlinks.com/distributions. Apa yang menariknya, Linux turut membolehkan komputer yang berspesifikasi rendah untuk menggunakannya.
Untuk komputer yang mempunyai RAM bersaiz kecil, pengguna boleh memilih untuk menggunakan kod arahan, tanpa mengaktifkan antara muka pengguna bergrafik atau GUI. Ini akan mengelakkan operasi yang tersekat-sekat lantaran spesifikasi yang rendah.
Sekiranya komputer tersebut agak berusia, seperti Pentium II atau yang generasi sebelumnya, pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan distribusi seperti DSL atau Damn Small Linux, yang boleh digunakan pada komputer yang menggunakan teknologi lama.
Bagi komputer baru, kita boleh memilih untuk menggunakan distribusi seperti Ubuntu dan Knoppix yang sesuai untuk mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan sistem operasi ini. Distribusi yang mempunyai ciri mudah dan mesra pengguna tanpa melupakan fungsi-fungsi penting pada Linux merupakan keseimbangan yang perlu ada bagi menarik lebih ramai pengguna sistem operasi sumber terbuka ini.
Pelayan media hiburanBagi peminat muzik, anda boleh berkongsi muzik digital di rumah dengan semua komputer di rumah. Komputer usang anda boleh dijadikan pelayan untuk fungsi ini.
Apa yang perlu anda lakukan ialah menyambungkannya dengan sistem rangkaian di rumah. Namun, pastikan papan induk komputer tersebut mempunyai sekurang-kurangnya slot PCI bagi membolehkan anda menggunakan kad antara muka rangkaian.
Jika tidak, anda mungkin terpaksa untuk mencari kad yang menggunakan slot ISA bagi membolehkannya berkongsi sumber media
hiburan dengan komputer lain. Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, anda juga boleh memilih untuk menggunakan sambungan wayarles.
Perakam TVSatu ketika dulu perakam kaset video atau dikenali sebagai VCR merupakan cara mudah untuk kita merakamkan siaran TV yang digemari. Namun hari ini teknologi ini dianggap usang dan semakin dilupai lantaran ditelenggami oleh gajet-gajet digital ain seperti pemain DVD, VCD dan sebagainya.
Namun, kos sebuah pemain DVD yang mempunyai kemampuan untuk merakamkan siaran TV mungkin agak tinggi buat sesetengah orang.
Jangan khuatir, komputer lama boleh menyandang tugasan ini dengan kos yang lebih rendah.
Anda hanya perlu memasangkan kad TV Tuner pada komputer tersebut. Kad ini mempunyai dua jenis yang dipasangkan pada papan induk dan satu lagi yang menggunakan port USB. Perkakasan ini lazimnya didatangkan dengan perisian yang mempunyai ciri untuk merakamkan siaran TV.
Sekiranya anda mempunyai bajet lebih, anda juga boleh memilih untuk menggunakan Windows XP edisi Media Centre bagi menguruskan rakaman. Namun sistem operasi Windows edisi hiburan versi 2005 ini memerlukan kelajuan unit pemproses sekurang-kurangnya 1.6GHz.